Sunday, January 12, 2020

UMAR BIN ABDUL AZIZ: CONTOH DAN SATU TAULADAN


Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, terdapat ramai dikalangan kepimpinan Islam telah lahir atas dasar membangun bersama di bawah panji Islam. Kepimpinan ini lahir daripada satu pembinaan masyarakat yang setia kepada ajaran al-Quran dan Sunnah. Semasa pemerintahan kerajaan Bani Ummayyah, lahirnya seorang manusia daripada nasab yang mulia. Kepimpinan lelaki ini telah membina sebuah negara Islam yang masyhur sehingga ramai ilmuan hingga ke hari ini menulis dan membicarakan kehidupannya, pendirian serta kepimpinannya berdasarkan ilmu yang tinggi. Beliau ialah Umar bin Abdul Aziz.

Nama penuh beliau ialah Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin al-Hakam bin Abi al-Ash bin Umayyah bin Abdul Syams bin Abdul Manaf. Begitulah sanad keturunan Khalifah Agung ini. Dalam masa yang sama, beliau juga merupakan keturunan daripada nasab mulia daripada sebelah ibunya iaitu keturunan Umar Bin al-Khattab. Ibunya yang bernama Ummu Asim bin Asim bin Umar bin al-Khattab. Dibesarkan di kota Madinah, mendapat didikan terus daripada para alim ulama' terkemuka. Bahkan, beliau sendiri mendapat didikan terus daripada sahabat Rasullah iaitu Abdullah bin Umar al-Khattab yang merupakan bapa saudaranya sendiri. Selain itu, beliau juga dididik oleh para sahabat Rasulullah yang lain serta para tabiin yang lain. Antaranya Anas bin Malik R.A, Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib R.A, Amru bin Abi Salamah al-Makhzumi dan al-Saib bin Yazid.

Beliau juga yang disifatkan sebagai seorang daripada Khulafah al-Rasyidin oleh ulama' terkemuka dunia. Antaranya Sufyan  al-Thauri, Imam al-Syafie dan Abu Bakar Iyash. Beliau juga dilihat sebagai seorang pemimpin yang sentiasa taat akan gurunya sebagaimana kisah Umar bin Abdul Aziz dimarahi oleh gurunya, Ubaidillah bin Abdullah bin Utbah bin Mas'ud.

Dalam meneladani Umar Bin Abdul Aziz, terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui berkenaan sifat dan polisi sebelum dan semasa beliau menyandang jawatan sebagai Amirul Mukminin. Antara yang menarik perhatian penulis adalah:
  1. Menolak jawatan serta tidak meminta sebarang jawatan walaupun layak memerintah.
  2. Meminta nasihat daripada orang alim cara memerintah dengan adil seperti Hassan al-Basri, Salim bin Abdullah, Muhammad bin Kaab dan Raja' bin Haiwah.
  3. Menjadi contoh dan tauladan yang baik terhadap rakyat sebelum mengubah rakyat.
  4. Menyebarkan dan memperkasakan Islam sehingga keluar negara.
  5. Memperkasakan ilmu dan pengamalannya.
  6. Berlaku adil dan menentang kezaliman.
Begitulah yang dikatakan adil. Dalam memimpin, perlu ada kerasnya. Dalam berkata, perlu ada manisnya. Setiap tindak tanduk Umar bin Abdul Aziz mencerminkan keperibadian yang unggul serta waraknya dia dengan Tuhan. Tiada para pembesar yang hidup senang dalam pemerintahannya. Semuanya mestilah susah demi agama Allah. Bahkan, Hamka menyatakan bahawa "pendeknya agak 'sempit' nafas anak Raja-raja yang telah biasa hidup mewah itu setelah dia memegang kendali pemerintahan'. 

Namun begitu, pada hari ini yang adalah hanya pemimpin 'berakal lembu, bermulut murai dan berkaki baghal (kacukan keldai dan kuda)'. Sentiasa berusaha menaikkan nama mereka demi sekelumit harta, namun bukan untuk rakyat. Di luar negera mereka mempunyai pemipin seperti 'anjing dengan bayang-bayang', di Malaysia pula mereka mempunyai 'keldai-keldai dari rumah-rumah besar dan mewah'. Mereka sanggup menggadaikan harta, nyawa dan kebahagian rakyat serta maruah agama demi anak dan isteri sendiri. Hari demi hari, masyarakat dan agama menderita di bawah kepimpinan mereka ini. Amatlah malu bagi mereka kerana bertopeng-topeng dengan Tuhan. Seharusnya mereka meletakkan akal mereka di dalam Kitab Allah dan Sunnah buat seketika untuk mengingat semula tugas hakiki mereka. Seharusnya mereka juga perlu mentadabbur kisah-kisah orang-orang alim dan pemimpin-pemimpin yang adil dalam menerajui kepimpinan negara seperti Umar bin Abdul Aziz.

Benar apa orang kata, zaman ini zaman perlu meminta jawatan, tetapi perlulah ada sikap 'tidak mahukan jawatan' kerana takut kepada Allah. Namun, ramai juga yang menjadikan ayat ini untuk menghalalkan cita-citanya yang kononnya dia layak memegang jawatan. Celakalah kepada mereka yang berkata sedemikian. Ketegangan dalam masyarakat kian teruk, seharunya pemimpin bersikap bagai Umar bin Abdul Aziz yang menjadi contoh kepada rakyatnya. 

Namun, apakan daya. Rakyat juga buta dan tuli sehinggakan mereka merasakan pemipin bertopeng mereka itu mulia sedangkan mereka hanya tiada apa disisi masyarakat. Pilihlah yang betul. Jangan pula kita seperti 'terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau.'

Rujukkan:
Hamka, 2016, Sejarah Umat Islam, PTS Publishing House Sdn. Bhd, Selangor.
Zulkifli bin Mohammad al-Bakri Ph.D, 2014, Siri Mawaqif al-Ulama: Umar Abdul Aziz, Pustaka Cahaya Kasturi, Negeri Sembilan.

UMAR BIN ABDUL AZIZ: CONTOH DAN SATU TAULADAN

Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, terdapat ramai dikalangan kepimpinan Islam telah lahir atas dasar membangun bersama di bawah p...