Tuesday, September 25, 2018

DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN DAPAT MEMUPUK PERPADUAN KAUM DAN INTERGRASI NASIONAL


BAGAIMANAKAH DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN DAPAT MEMUPUK PERPADUAN KAUM DAN INTERGRASI NASIONAL ?
PENGENALAN

PENGENALAN

Penjajahan British mengamalkan dasar pecah dan perintah yang menghalang perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang berbeza adat resam, keturunan, agama dan budaya. Setelah negara mencapai kemerdekaan, Kerajaan Perikatan berusaha menangani masalah perpaduan melalui penggubalan Dasar Pendidikan. Penyata Razak menjadi asas kepada dasar ini iaitu di maktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 dan disemak semula pada tahun 1960 melalui Penyata Rahman Taib. Pada tahun 1974, Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan untuk mengkaji Dasar Pendidikan Kebangsaan.


BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENGANTAR

            Perpaduan dalam kalangan penduduk Tanah Melayu yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dapat dicapai melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan apabila pada tahun 1970, bahasa Melayu menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi seperti termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Penggunaan Bahasa Melayu ini disemua sekolah kebangsaan secara tidak langsung menwujudkan perpaduan iaitu Penyata Razak dan Laporan Rahman Taib telah menjadi asas dalam mencapai matlamat perpaduan kaum di Malaysia. Cadangan kedua-dua penyata ini adalah untuk mewujudkan satu bahasa pengantar di sekolah iaitu bahasa Melayu. Sebelum ini semua sekolah vernakular menggunakan bahasa ibunda masing-masing dan wujudnya jurang yang cukup besar. Kesukaran semua pihak untuk berkomunikasi terjadi kerana setiap penduduk hanya tahu bahasa ibunda masing-masing sahaja. Melalui penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan, maka semua penduduk akan dapat berkomunikasi dengan baik menggunakan satu bahasa sahaja. Kelulusan dalam bahasa Melayu wajib bagi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran sejak tahun 1962. Pelancaran Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa diadakan untuk menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan. Pada tahun 1970, bahasa pengantar di sekolah rendah Inggeris ditukarkan kepada bahasa kebangsaan secara berperingkat-peringkat. Jelaslah bahawa melalui penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan, maka semua penduduk akan dapat berkomunikasi dengan baik menggunakan satu bahasa sahaja. Malahan ia juga dapat menanamkan semangat cintakan tanah air kerana mereka mempunyai satu bahasa yang mampu merapatkan hubungan semua penduduk yang tinggal di Tanah Melayu. Mulai tahun 1982, bahasa Melayu akhirnya menjadi bahasa pengantar di semua sekolah


KURIKULUM YANG SAMA

            Selain itu, kurikulum yang sama dan bercorak tempatan mampu memupuk perpaduan kaum dan intergrasi nasional. Pelaksanaan kurikulum yang sama dan penerapan unsur-unsur patriotisme dapat membantu mencapai matlamat ini. Sebelum ini, pendidikan sekolah vernakular adalah berdasarkan sukatan yang dibawa dari negara asal masing-masing. Contohnya bagi sekolah vernakular Cina dan Tamil, sukatan pelajaran dan buku  teks dibawa dari tanah air mereka iaitu negara China dan India. Sistem pendidikan  ini telah berkembang tanpa menekankan keperluan pembentukkan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Malah sistem pendidikan berkembang mengikut identiti dan kesetiaan negara asal mereka. Justeru itu pembelajaran mereka tidak menjurus kepada Tanah Melayu dan ini secara tidak langsung menyukarkan usaha-usaha kerajaan untuk mewujudkan perpaduan kaum dengan masyarakat lain. Dalam Laporan Razak, sistem persekolahan yang sama bagi semua rakyat dan penyeragaman kurikulum di semua sekolah akan dilaksanakan. Kurikulum kebangsaan yang digubal mempunyai matlamat serampang dua mata kerana bukan sahaja bertujuan memberi ilmu pengetahuan malah membentuk sahsiah dan keperibadian murid yang diingini bagi memupuk perpaduan kaum. Kurikulum yang seragam disemua sekolah yang mana mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Moral, Sejarah dapat membentuk peribadi murid yang mempunyai nilai patriotisme yang tinggi terhadap negara dan secara tidak langsung melahirkan masyarakat yang bersatu padu.


PEPERIKSAAN YANG SERAGAM

            Peperiksaan yang seragam dapat melahirkan rakyat Malaysia ke arah mencapai visi dan misi yang ditetapkan iaitu perpaduan kaum dan intergrasi nasional. Pada tahun 1956, peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran(SRP) bagi murid tingkatan tiga diperkenalkan. Selepas itu digantikan dengan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan lain-lain diseragamkan dengan matlamat yang sama iaitu membentuk masyarakat yang harmoni, berdaya saing dan bersatu padu. Melalui peperiksaan seragam ini, telah berjaya membentuk identiti Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Peperiksaan yang dijalankan adalah bertunjangkan kepada negara Malaysia dan semua rakyat yang menduduki peperiksaan ini menjawab perkara yang sama. Semasa pemerintahan British di Tanah Melayu, semua sekolah mengambil peperiksaan berdasarkan sukatan sekolah masing-masing. Justeru itu tiada keseragaman dalam peperiksaan yang menyebabkan kebolehan dan kepandaian seseorang murid itu tidak dapat dinilai dengan tepat. Peperiksaan yang ada ini juga secara tidak langsung akan memupuk daya saing dan saling tolong-menolong antara murid dalam satu sekolah bagi memastikan mereka mendapat keputusan yang cemerlang contohnya pelajar Melayu akan membantu pelajar Cina begitu juga sebaliknya.


AKTIVITI KOKURIKULUM

            Kepentingan kegiatan kokurikulum sebagai pengukuh disiplin dan asas perpaduan memperlihatkan usaha Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM2.50 per kapita pelajar menjalankan program tersebut di setiap sekolah. Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan , aktiviti  sukan tahunan, kelab dan persatuan, pasukan beruniform,  sukan  dan sebagainya digalakkan. Aktiviti ini wajib disertai oleh semua murid tanpa mengira ideologi dan seterusnya dapat menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat. Aktiviti kokurikulum tidak mengehadkan penyertaan kepada sesuatu kaum sahaja malah membuka peluang kepada semua kaum untuk menyertainya. Semua pelajar akan bekerjasama,  setia kawan, berdisiplin dalam kumpulan mereka untuk memenangi pertandingan yang disertai semata-mata untuk menjuarai setiap pertandingan itu. Negara memerlukan masyarakat yang cergas, berfikiran rasional, terbuka dan sedia menerima perubahan dan semua nilai positif ini akan dapat dipupuk melalui aktiviti kokurikulum yang seterusnya melahirkan masyarakat yang bersatu padu.


KESIMPULAN

            Perpaduan merupakan tonggak keutuhan sesebuah negara bangsa, mengekalkan kemerdekaan dan kemakmuran negara. Sekolah merupakan agen perubahan dan penyebaran  yang berkesan diperingkat bawah lagi. Dasar Pendidikan Kebangsaan bermatlamat memupuk perpaduan kaum dan intergrasi nasional diperingkat sekolah lagi melalui beberapa mekanisme yang dirancang dengan teliti di sekolah.




No comments:

Post a Comment

UMAR BIN ABDUL AZIZ: CONTOH DAN SATU TAULADAN

Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, terdapat ramai dikalangan kepimpinan Islam telah lahir atas dasar membangun bersama di bawah p...