Tuesday, September 25, 2018

PERJUANGAN ULAMA': PROF.DR.HAJI ABDUL MALIK (HAMKA)

                                                               

   بسم الله الرحمان الرحيم

        Segala puji bagi Allah,Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarga dan para sahabat baginda hingga ke akhir zaman.

         Dalam pertemuan pertama ini, penulis memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah kerana membenarkan penulis untuk menulis serba sedikit berkaitan seorang insan yang mulia disisi Allah dalam memartabatkan agama Islam. Dalam penulisan ini, kita akan membongkar serba sedikit tentang Abuya Hamka dari biografi sehingga perjuangan Hamka dalam memartabatkan Islam di Nusantara serta mencari pengajaran daripada kisah beliau. Penulisan ini adalah berasaskan kepada buku-buku dan sumber yang sahih.

 BIOGRAFI HAMKA
Dalam objektif pertama, penulis akan mengupas serba sedikit berkenaan dengan biografi Hamka. Perbincangan tersebut meliputi beberapa perbincangan yang diletakkan kepada beberapa tema iaitu : i) latar belakang Hamka ii) pendidikan Hamka iii) pencapaian Hamka dalam penulisan

Latar Belakang Hamka:
Nama sebenar beliau adalah Abdul Malik Bin Abdul Karim Amrullah. Beliau diputerakan pada tanggal 17 Februari 1908 di Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Daripada empat orang adik beradik iaitu Abdul Kudus Karim, Abdul Mukti Karim dan Asma Karim, beliau merupakan putera yang pertama hasil daripada ikatan cinta antara Abdul Karim Amrullah dan Shaffiah Binti Bagindo Nan Batuah. Di Indonesia, beliau lebih dikenali oleh masyarakat dengan gelaran Hamka kerana beliau menghimpunkan nama beliau dengan bapanya namun lebih disenangi dengan gelaran Buya Hamka. (Irfan Hamka.2013)
Sewaktu mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan, Hamka mendapat pendidikan pertama di Sekolah Desa di Padang Panjang pada tahun 1918, pada tahun yang sama beliau belajar di Madrasah Thawalibdi Padang Panjang dan seterusnya ke parabe, Bukit Tinggi pada tahun 1922. Namun begitu, beliau tidak menghabiskan pembelajaran serta pendidikan yang beliau terima di ketiga-tiga sekolah ini atas beberapa faktor yang mendatang. Antara faktor tersebut adalah disebabkan penceraian antara ayah dan ibu beliau serta kurangnya minat Hamka dalam menimba ilmu di sekolah. Walaupun Hamka tidak menghabiskan pembelajaran beliau secara formal di sekolah, namun masanya tidak dihabiskan dengan bermain serta berjalan-jalan seperti anak muda ketika itu, sebaliknya beliau menghabiskan waktunya menuntut ilmu di luar bersama dengan tokoh pidato, cerita rakyat, syair serta pantun ketika tidak menghadirkan diri ke sekolah. (Irfan Hamka. 2013)
Pada tanggal 5 April 1929, Hamka menamatkan zaman bujangnya dengan mendirikan rumahtangga dengan insan yang dipilih oleh ayahanda beliau sendiri iaitu Siti Raham binti Rasul Sutan Endah yang ditunangkan oleh ayah Hamka ketika mereka masih kecil. Hasil darpa perkongsian kehidupan bersama ini, Hamka dan Siti Raham dikurniakan 12 zuriat. Namun dua daripadanya iaitu Hisyam Hamka dan Husna Hamka meninggal dunia ketika kecil. Setelah sepeninggalan Siti Raham pada 1971 akibat sakit tenat, Hamka hidup bersama pula dengan isteri kedua beliau iaitu Siti Chadijah binti H.Nata Pariwata enam tahun kemudian namun tidak dikurniakan seorang pun cahaya mata. Siti Chadijah hanya menemani Hamka menelusuri sisa hidup suami tercinta sehingga Hamka meninggal dunia. (Irfan Hamka.2013)
Tepat pada tanggal 24 Julai 1981 pada 10.37 pagi, Hamka menghembuskan nafas terakhirnya setelah berada beberapa hari di Hospital Pertamina akibat sakit tua ketika beliau berumur 73 tahun. Beliau meninggalkan seorang balu dan 10 orang anak serta kenangan bersama keluarga dan masyarakat. (Abdul Latip Talib.2014)

Pendidikan Hamka
Walaupun Hamka merupakan antara cendiakawan agama yang termahsyur, namun beliau tidak mempunyai pendidikan yang digambarkan oleh masyarakat sebagai seorang yang belajar hingga ke peringkat universiti. Beliau hanyalah seorang insan yang tidak berpendidikan yang formal namun mampu mempunyai ilmu yang lebih tinggi daripada insan biasa dengan bersua muka dengan ilmuan agung.
Semasa beliau masih dibangku sekolah, sewaktu tidak menghadirkan diri untuk menuntut ilmu, beliau banyak meluangkan masanya dengan belajar pidato, syair, pantun, cerita rakta dan belajar silat. Beliau juga sering menghabiskan masanya dengan membaca buku-buku yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia antaranya buku berkenaan aliran pemikiran Syeikh Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Maka dapat dilihat bahawa sejak kecil lagi, beliau telah didedahkan dengan aliran pemikiran yang besar ini sehingga membentuk keperibadian beliau. (Abdul Latip Talib.2014)
Namun begitu, kekurangan dari sudut pembelajaran tidak membantutkan keinginan Hamka untuk meneruskan pembelajaran secara bersendiri dalam mendalami ilmu agama dengan berguru bersama beberapa ulama’ besar sama ada di Indonesia hamupun Makkah. Hamka memanfaatkan masa beliau dengan para ulama’ ini dengan menimba ilmu nasihat, belajar Ilmu Tafsir, Bahasa Arab dan sebagainya. Antara yang mengajar Hamka adalah bapa beliau sendiri iaitu Syeikh Dr. Abdul Karim Amrullah, Kiai Haji Hadikusumo, Mirza Wali Ahmad dan Haji Agis Salim. (Abdul Latip Talib.2014)
Maka dapat disimpulkan, ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh Hamka tidak dapat disangkal lagi walaupun tidak berpendidikan yang tinggi. Hal ini kerana, ilmu yang dikecapi oleh beliau merupakan ilmu yang diperolehi daripada para ilmuan yang tinggi martabat mereka serta diiktiraf keilmuan mereka. Hal ini juga dapat dijadikan contoh kepada masyarakat hari ini kerana ilmu tidak sahaja diukur ketika berda di sekolah, bahkan lebih daripada itu.

 Pencapaian Hamka dalam Penulisan Novel Cinta
Sebagai seorang ulama’ yang tersohor, Hamka telah mencapai pengiktirafan dan anugerah daripada pemimpin serta individu di dalam serta luar negara. Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam usaha membangunkan masyarakat.
Antara jawatan yang telah disandang oleh Hamka sepanjang kehidupan dan kejayaan beliau adalah jawatan Konsul Muhammadiyah Sumatera Timur pada tahun 1943. Pada tahun 1960, Hamka merupakan pengurus Pusat Muhammadiyah serta pada tahun 1975 hingga 1979 Hamka merupakan Ketua Majlis Ulama Indonesia serta menjadi pakar rujuk dalam masalah agama ketika menjawat jawatan ini. (Irfan Hamka.2013)
Hamka juga tidak terlepas daripada mendapat beberapa gelaran serta anugerah sama ada daripada universiti tempatan mahupun antarabangsa serta pemberian daripada pemimpin Indonesia. Antara gelaran yang diperolehi oleh Hamka adalah Doktor Honoris Causa daripada tiga buah universiti iaitu Universiti Al-Azhar Mesir, Universiti Prof.Moestopo Beragama dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Walupun Hamka telah meninggal dunia, beliau masih dihargai dengan pemberian daripada pemimpin Indonesia dengan pemberian Bintang Mahaputera Madya pada tahun 1986.
Sepanjang kehidupan Hamka, beliau telah menulis banyak buku dalam pelbagai bidang seperti agama, sejarah, politik serta novel cinta. Beliau telah berjaya menulis sebanyak 72 buah karya dan sebahagiannya merupakan novel cinta. Antaranya adalah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Tuan Direktur, Di Bawah Lindungan Kaabah, Si Sabariah, Dijemput Mamaknya dan banyak lagi. (Abdul Latip Talib.2014)
Maka dapat dinyatakan bahawa segala pemberian serta anugerah yang dikurniakan kepada Hamka serta pencapaian beliau dalam bidang kesasteraan membuktikan bahawa beliau adalah insan yang hebat dalam segenap aspek. Beliau telah membawa erti kata iman bersam dalam meniti kehidupan beliau dalam memperjuangkan agama Allah.


Melalui kajian ini dalam objektif pertama, penulis dapat menyatakan beberapa dapatan yang diperolehi antaranya keilmuan seseorang haruslah dinilai berdasarkan kepada pengamalan serta ketinggian ilmu yang diperolehi bukannya sejauhmana mereka menyambung pengajian. Hal ini kerana, ramai di antara mayarakat yang menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi tidak mengamalkan ilmu mereka dengan baik. Selain itu, penulis dapat menyatakan pengiktirafan yang diperolehi bukanlah sandaran dalam kehidupan seseorang.

 CIRI-CIRI KEIMANAN PADA DIRI HAMKA SELAKU PENULIS NOVEL CINTA
Dalam objektif dua, penulis akan mengupas serba sedikt berkenaan dengan ciri-ciri keimanan pada diri Hamka. Perbincangan tersebut meliputi beberapa perbincangan yang diletakkan kepada tema iaitu: i) ciri-ciri keimanan bagi orang bercinta daripada novel Hamka ii) kritikan terhadap masyarakat Indonesia melalui novel cinta.
Ciri-ciri Cinta Bagi Orang Beriman Daripada Novel Hamka
Dalam setiap kisah cinta yang diketengahkan oleh Hamka, beliau menceritakan bagaimana seorang yang beriman bercinta walaupun masih belum berkahwin lagi. Antara ciri-ciri yang ditonjolkan adalah menjaga maruah diri dan perbatasan pergaulan. Hamka menggariskan bahawa individu seperti ini sentiasa menjaga perbatasan pergaulan dengan beberapa cara seperti berjumpa ditempat awam, membawa kenalan bersama untuk berjumpa serta tidak menunjukkan kemesraan yang terlampau dalam pergaulan mesra.
Antara peristiwa adalah pertemuan antara Zainuddin dan Hayati yang bertemankan adik bongsu Hayati di tepi sawah setelah berutus surat antara mereka berdua. Mereka juga tidak bermesraan dalam keadaan yang melampau dalam setiap pertemuan mereka dan tidak menyatakan kecintaan secara terus terang dalam pertemuan mereka namun hanya menyatakan perasaan mereka dalam kadar yang sesuai sahaja. Selebihnya mereka hanya berutus surat sahaja. (Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.2015)
Hamka cuba memaparkan kepada masyarakat bagaimana seorang yang beriman bercinta dengan meletakkan hukum Allah S.W.T sebagai garis panduan. Mereka tidak melakukan perkara yang melampau dalam bercinta bahkan menjaga perhubungan mereka sehingga mereka berkahwin.
Selain itu, Hamka menggariskan antara ciri-ciri cina bagi orang yang beriman adalah mereka yang tidak mementingkan darjat antara satu sama lain. Individu-individu ini tidak mementingkan keturunan berdasarkan suku kaum, kekayaan dan kemahsyuran antara satu dengan yang lain. Mereka saling mengenali dan bercinta walaupun ditentang oleh ahli keluarga masing-masing kerana perbezaan status. Bagi cinta orang yang beriman, merka akan sentiasa mementingkan cinta yang diberikan oleh Allah kepada mereka lebih daripada status yang dibawa oleh mereka. Hal ini kerana keluarga mereka melihat adat yang dibawa oleh keluarga mereka perlu diutamakan berbanding cinta kerana adat perlu dipertahankan.
Sebagai contoh, masyarakat Padang yang hidup bersuku kaum sehingga menyukarkan Zainuddin untuk meneruskan percintaan antara mereka. (Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.2015). Selain itu, Hamid dan Zainab yang tidak direstuai akan cinta mereka kerana ibu Zainab yang ingin Zainab berkahwin dengan lelaki pilihan ibunya. (Di Bawah Lindungan Kaabah.2015). Disamping itu, Fauzi yang merelakan dirinya dipecat oleh Tuan Jazuli kerana bercinta dengan cucu Pak Yasin, Aminah kerana dia mengetahui permusuhan antara Pak Yasin dengan Tuan Jazuli. (Tuan Direktur.2015)
Jelaslah bahawa, Hamka meletakkan status pada diri seseorang yang beriman tidak menghalang mereka daripada bercinta dengan orang yang tidak mempunyai status yang sama. Mereka hanya meletakkan keimanan pada diri seseorang yang menjadi ukuran melalui tingkah laku, percakapan dan aktiviti harian yang menjadi gambaran keimanan pada diri seseorang.
Disamping itu, Hamka juga menunjukkan dalam penulisnya bagimana orang bercinta yang beriman seharusnya menangani musibah yang berlaku. Sebahagian besar daripada orang yang bercinta meletakkan musibah yang berlaku kepada mereka merupakan penamat bagi perhubungan mereka serta tidak meletakkan Allah sebagai tempat bergantung. Hal ini yang menyebabkan Hamka meletakkan beberapa watak yang menggambarkan situasi yang dihadapi oleh masyarakat hari ini. Mereka tidak boleh menerima kenyataan setiap perkara yang telah ditetapkan olehAllah Sebagai ujian kepada diri mereka.
Sebagai contoh, Zainuddin yang tidak boleh menerima berita kematian Hayati yang terlibat dalam kemalangan yang menimpa Kapal Van Der Wijck sehingga menggangu kehidupannya. Walaupun telah dinasihati oleh Muluk iaitu sahabat baik Zainuddin, dia tetap dengan perangainya yang selalu berulang-alik ke kubur Hayati setiap hari dan merasakan Hayati sentiasa memanggil namanya meminta tolong semasa kapal yang dinaikinya tenggelam. Perkara ini akhirnya menyebabkan Zainuddin mengalami tekanan perasaan yang melampau yang menyebabkan kematiannya. (Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.2015). Oleh itu, Hamka menyatakan bahawa ciri-ciri orang yang beriman dalam menangani konflik serta musibah dengan meletakkan Allah sebagai sandaran. Beliau juga menggariskan bahawa orang beriman sentiasa bermuhasabah diri dalam setiap perkara yang berlaku.
Kesimpulannya, penulis dapat menyatakan bahawa Hamka melihat sudut pandang kisah percintaan bagi setiap manusia sebagai suatu fitrah namun perlulah dibimbing oleh iman yang ada bagi setiap manusia agar tidak berlaku sebarang kesilapan dalam percintaan manusia.

KRITIKAN HAMKA TERHADAP MASYARAKAT INDONESIA MELALUI NOVEL CINTA
Dalam setiap kisah cinta yang dibawa oleh Hamka dalam novel beliau, terdapat beberapa perkaitan antara satu dengan yang lain. Hal ini kerana Hamka ingin menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat akan sesuatu perkara kepada masyarakat hingga ke hari ini.
Antara kritikan dan persamaan kisah cinta serta mesej yang berkaitan antara novel Hamka adalah kritikan Hamka terhadap adat istiadat yang melampau dalam kalangan masyarakat Islam di Nusantara. Sebab Hamka mengkritik adat istiadat yang melampau seperti ini kerana msyarakat di Nusantara ketika itu terlalu berpegang teguh kepada adat sehingga mengetepikan agama Islam. Mereka berpegang kepada pepatah “biar mati anak, jangan mati adat”. Hamka mengkritik dengan menyatakan wujudnya kesukaran dalam percintaan antara setiap masyarakat yang berlainan adat dan suku kaum sehingga tidak mampu meneruskan percintaan mereka. Hal ini juga menyebabkan individu yang bercinta juga akan lebih mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat jika mereka terus dibiarkan begitu.
Sebagai contoh, masyarakat Minagkabau yang berpegang teguh kepada adat mereka iaitu orang yang berlainan suku mereka tidak dibenarkan untuk berkahwin dengan ahli suku mereka. Perkara ini menyebabkan Zainuddin tidak dapat meneruskan percintaannya dengan Hayati sehingga Hayati meninggal dunia semasa tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. (Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.2015)
Maka dapat dinyatakan bahawa, adat istiadat yang bertentangan dengan syariat Islam sememangnya ditegah serta akan membawa kepada kebinasaan dalam kalangan masyarakat. Antaranya adalah terdedah kepada unsur khurafat serta kepda perbuatan dosa yang lain kerana berterusan mengikut adat mereka.
Selain itu, Hamka meninggikan martabat wanita melalui penulisan beliau. Beliau menunjukkan ketinggian martabat wanita dengan meletakkan ciri-ciri wanita yang beriman dengan menjaga tingkah laku mereka, pertuturan serta pergaulan dengan lelaki ajnabi. Mereka menjadikan hukum syarak sebagai garis panduan dalam kehidupan mereka. Mereka juga diberikan hak sebagai golongan wanita. Hal ini kerana golongan wanita ketika itu tidak menjaga tingkah laku mereka serta hilang pertimbangan sehingga dipergunakan oleh golongan lelaki.
Sebagai contoh, Hayati yang mendapat pendidikan agama daripada para ustaz dan ayahnya di Padang panjang sentiasa menjaga tatasusilanya apabila berhadapan dengan kaum lelaki walaupun ketika berhadapan dengan Zainuddin. (Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.2015). Hasilnya, Hamka meninggikan martabat golongan wanita selari dengan al-Quran dan as-Sunnag dimana hak sebagai golongan wanita serta tidak ditindas sebagai golongan yang lemah.
Kesimpulannya, perkaitan dan kritikan daripada kisah yang ditunjulkan Hamka ini memiliki mesej yang jelas dengan berlandaskan keimanan kepada Allah dan cuba menerapkan perkara ini kepada masyarakat.

Maka dapat dinyatakan, pengkaji dapat mengeluarkan beberapa hasil kajian daripada perbincangan objektif dua. Antaranya adalah Hamka cuba menyedarkan masyarakat bahawa agama Islam adalah lebih penting berbanding adat istiadat serta status masyarakat. Hal ini kerana semangat “assabiah” iaitu semangat perkauman memberikan impak yang negatif terhadap masyarakat sekitar. Maka hal ini perlu disingkirkan. Selain itu, perspektif masyarakat terhadap golongan wanita haruslah berubah. Mereka tidak boleh melihat golongan ini sebagai golongan yang mudah dipergunakan serta tidak memberi sebarang manfaat kepada masyarakat. Seharusnya mereka diberikan hak untuk melakukan perkara yang mereka ingini selagi ianya bertepatan dengan syariat Islam.





KESIMPULAN
Melalui kajian ini dalam objektif pertama, penulis dapat menyatakan beberapa dapatan yang diperolehi antaranya keilmuan seseorang haruslah dinilai berdasarkan kepada pengamalan serta ketinggian ilmu yang diperolehi bukannya sejauhmana mereka menyambung pengajian. Selain itu,  penulis dapat menyatakan pengiktirafan yang diperolehi bukanlah sandaran dalam kehidupan seseorang.
Manakala bagi objektif kedua, penulis dapat mengeluarkan beberapa hasil kajian daripada perbincangan objektif dua. Antaranya adalah Hamka cuba menyedarkan masyarakat bahawa agama Islam adalah lebih penting berbanding adat istiadat serta status masyarakat. Selain itu, perspektif masyarakat terhadap golongan wanita haruslah berubah. Mereka tidak boleh melihat golongan ini sebagai golongan yang mudah dipergunakan serta tidak memberi sebarang manfaat kepada masyarakat.
Maka dapat dirumuskan bahawa, Hamka memainkan peranan yang penting dalam perkembangan penulisan novel cinta. Beliau memaparkan penulisan novel cinta yang berlandaskan ciri-ciri keimanan yang perlu ada pada diri seseorang. Beliau menunjukkan Islam meraikan perasaan cinta namun perlulah berdasarkan hukum syarak yang ditetapkan. Namun begitu, masih ramai dalam kalangan masyarakat tidak menjadikan penulisan Hamka ini sebagai suatu tauladan dalam percintaan. Sebaliknya mereka menjadikan penulisan novel cinta yang tidak berlandaskan keimanan seperti novel daripda Barat.



Semoga penulisan pada kali ini menjadi panduan dan pengajaran kepada para pembaca.


       Al-Fatihah 
     untuk
Prof. Dr. Haji Abdul Malik Bin Syeikh Karim Amrullah
     (HAMKA)
    
Rujukan:
i)                    Hamka, 2015, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, PTS Publishing House Sendirian Berhad: Selangor: Malaysia.
ii)                  Hamka, 2015, Tuan Direktur, PTS Publishing House Sendirian Berhad: Selangor: Malaysia.
iii)                Hamka, 2015, Di Bawah Lindungan Kaabah, PTS Publishing House Sendirian Berhad: Selangor: Malaysia.
iv)                Irfan Hamka, 2013, Ayah, Republika Penerbit: Jakarta: Indonesia.

v)                  Abdul Latip Talib, 2014, PTS Publishing House Sendirian Berhad: Selangor: Malaysia.

No comments:

Post a Comment

UMAR BIN ABDUL AZIZ: CONTOH DAN SATU TAULADAN

Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, terdapat ramai dikalangan kepimpinan Islam telah lahir atas dasar membangun bersama di bawah p...